fb fb fb fb fb

Perkukuh hubungan dua hala, TPM Zahid mulakan lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 20 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Republik Indonesia bermula hari ini, dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan itu merupakan kesinambungan kepada hubungan erat yang terjalin susulan Lawatan Negara Presiden Indonesia ke Malaysia pada Januari lalu.

Sepanjang lawatan, Ahmad Zahid dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, bagi membincangkan pelbagai peluang kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

"Antara fokus utama perbincangan termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan industri halal, pembangunan luar bandar serta aspek pengurusan bencana," menurut kenyataan itu.

Lawatan tersebut turut menyaksikan pertukaran tiga dokumen penting, termasuk dua Surat Niat (Letter of Intent) antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan kerajaan wilayah Jakarta serta Sumatera Barat dalam bidang TVET.

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai antara Education Malaysia Global Services dan kerajaan Sumatera Barat dalam usaha memperkukuh kerjasama dalam sektor pendidikan tinggi.

Antara pengisian lain dalam lawatan ini ialah lawatan ke Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia serta Pusat Operasi Kecemasan AHA Centre, yang memainkan peranan penting dalam pengurusan bencana serantau.

Zahid turut dijadual menyertai sesi meja bulat bersama pemain industri francais utama Indonesia dan menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Jakarta.

Lawatan itu turut diserikan dengan pelancaran ASEAN Unity Drive 2025 di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, sebagai simbol komitmen Malaysia terhadap kerjasama serantau yang mampan dan inklusif.

Untuk rekod, Indonesia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN