fb fb fb fb fb

Tengku Ampuan Pahang berkenan sertai larian Hari Sarapan MILO

FOTO RTM

KUANTAN, 20 April- Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat mencemar duli menyempurnakan perasmian Hari Sarapan MILO Malaysia 2025 yang berlangsung di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, pagi tadi.

Baginda tiba sekitar pukul 7.50 pagi, seterusnya berkenan melepaskan peserta larian sejauh 3 kilometer serta turut sama menyertai acara tersebut bersama lebih 12,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.

Selain itu, Baginda turut menyertai sesi senaman zumba dan beramah mesra dengan para pengunjung yang hadir memeriahkan program.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Datuk Sabariah Saidan serta Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols.

Hari Sarapan MILO Malaysia 2025 dianjurkan bersempena sambutan ulang tahun ke-75 jenama itu di negara ini.

Siri jelajah program berkenaan sebelum ini telah diadakan di Putrajaya, Johor dan Pulau Pinang dan bakal diteruskan ke negeri Kedah dan Terengganu dalam masa terdekat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE