PUTRAJAYA, 4 Disember – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pendakwah agar meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris bagi memperkukuh keupayaan mereka berdebat dengan pemikir dari Eropah dan negara luar.
Beliau berkata, penguasaan bahasa yang meluas bukan sahaja memudahkan penyampaian ajaran Islam secara teratur tetapi juga membantu masyarakat antarabangsa memahaminya dengan lebih mendalam.
“Bahasa Inggeris yang mantap diperlukan untuk berbahas dengan pemikir Eropah. Penguasaan bahasa ini menjadi kekuatan untuk menyampaikan mesej Islam dengan lebih berkesan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Ilmu MADANI di sini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah dan Pengasas Kolej Islam Cambridge (CMC), Syeikh Dr Abdal Hakim Murad, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar.
Anwar turut memuji kebijaksanaan Syeikh Abdal Hakim yang menggunakan bahasa intelektual dalam menarik perhatian masyarakat Eropah terhadap Islam.
Selain itu, beliau menggesa mahasiswa dan anak muda untuk membaca buku atau kitab bersama pensyarah agar dapat memahami kandungannya dengan lebih mendalam.