BUKIT PALAH, 4 Disember - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia memberikan khidmat kaunseling kepada bekas model Zahnita Wilson yang terlibat dalam kes keganasan rumah tangga.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kementerian sentiasa komited menangani isu tersebut dan menyeru wanita yang menjadi mangsa agar tidak takut atau malu untuk mendapatkan bantuan dengan menghubungi Talian Kasih 15999.
"Ramai wanita terkesan secara mental akibat masalah seperti ini. Kita ada kaunselor yang sedia membantu. Jika bukan diri sendiri, laporkan bagi pihak keluarga atau rakan," katanya selepas merasmikan Better Brighter Anjung Kasih Hospital Melaka, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan suami Zahnita Wilson ditahan polis untuk siasatan selepas beliau mendedahkan dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.