KUALA LUMPUR, 4 Disember – Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat hari ini membuat laporan polis terhadap seorang penulis blog kontroversi berhubung penyebaran video yang didakwa memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkaitan isu pelaburan di beberapa negeri.
Pengerusi sekretariat tersebut, Mustapa Mansor berkata video tular itu menuduh Perdana Menteri mensabotaj Menteri Besar Kedah dan mengugut pelabur untuk tidak melabur di Kelantan, Terengganu, dan Perlis.
“Pertama sekali, kita ingin memastikan media sosial tidak dipergunakan untuk kepentingan peribadi atau politik sempit yang dibawa oleh sebahagian rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan tersebut.
Mustapa menjelaskan kenyataan dalam video tersebut mengandungi unsur hasutan dan fitnah yang melanggar Seksyen 499 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 dan 5 Akta Fitnah, yang bertujuan menjatuhkan reputasi kerajaan.
Beliau turut menggesa tindakan tegas diambil terhadap penulis blog tersebut bagi memastikan penyebaran maklumat palsu di media sosial dapat dihentikan.