SHAH ALAM, 26 September - Perkhidmatan psikologi perlu dilibatkan dalam urusan utama kementerian, jabatan dan setiap agensi.
Menurut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, perkhidmatan itu perlu sebagai teras utama dalam menguruskan sumber manusia. Tegasnya, elemen kesejahteraan adalah penentu kepada kecemerlangan perkhidmatan.
"Ke semua pelanggan kita adalah manusia yang perlu disantuni dan difahami akan keperluan dan rasa hati mereka," katanya ketika berucap pada Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Kali ke-27 di Pusat Konvensyen MBSA di sini hari ini.
Katanya tiga aspek yang saling berkaitan iaitu kesihatan, kebahagian dan kesejahteraan merupakan acuan penting bagi melahirkan kesejahteraan psikologi individu.
Katanya, mengambil iktibar dari cabaran pandemik COVID-19, menguruskan kebajikan mangsa bencana dan lain-lain menunjukkan betapa pentingnya sumbangan perkhidmatan psikologi dalam memastikan kesejahteraan petugas barisan hadapan.
"Petugas yang berdepan cabaran getir membantu mangsa bencana pasti akan goyah jika tidak dibantu dan disokong agar kekal teguh menabur keringat demi negara tercinta dan tanggungjawab digalas," katanya.
Tambah beliau berdasarkan tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 menunjukkan seramai setengah juta atau 2.3 peratus golongan dewasa mengalami kemurungan.
"lni menunjukkan bahawa kehidupan kita hari ini semakin mencabar dan mereka yang terkesan perlu dibantu agar dapat kembali produktif dengan mengamalkan nilai dan integriti yang tinggi.
"Di sinilah, pegawai psikologi berperanan dalam membantu memulihkan kembali landasan kecemerlangan pegawai awam agar kembali utuh dan produktif," tambahnya.
Dalam pada itu, Zuki memaklumkan dalam pengendalian Dasar Pemisah bermula pada tahun 2015 sehingga kini, sebanyak 60 peratus pegawai yang dimasukkan ke dalam dasar itu telah berjaya dipulihkan kembali dan kekal berada dalam perkhidmatan dengan prestasi dan motivasi yang lebih baik.
"Ini menunjukkan bahawa, peranan yang dimainkan oleh pegawai psikologi signifikan memberi kesan dalam membantu penjawat awam mengekalkan kebergunaan serta berprestasi tinggi," katanya.
Oleh itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini sedang giat melaksanakan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) secara menyeluruh.
Katanya, ia merangkumi tiga skop iaitu Perjawatan dan Organisasi, Pengurusan Bakat, dan Kemampanan Sistem Saraan yang melibatkan semua skim perkhidmatan.
"Dengan itu, input daripada semua skim dan kumpulan perkhidmatan sangat diperlukan.
"Saya menyeru semua penjawat awam agar menyampaikan buah fikir dan pandangan melalui sistem SSPA," katanya.
Pada majlis itu, inisiatif Value Champion Officer (VCO) turut diperkenalkan bagi melestarikan pembudayaan nilai murni dalam perkhidmatan awam melalui teladan terbaik di organisasi.
JPA telah melantik 15 pegawai daripada pelbagai Kementerian, Jabatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang akan bermula pada tahun hadapan.