ALOR SETAR, 30 Mei - Tiga projek bernilai RM500 juta dibawah Kementerian Pengangkutan (MOT) akan dilaksanakan di Kedah tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata tiga projek itu melibatkan rancangan menaik taraf terminal dan jeti Kuala Kedah, perolehan 12 set three car set (3CS) bagi projek Komuter Utara dan menambah kemudahan lif serta tempat letak motosikal berbumbung di empat stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) di negeri itu.
Beliau berkata, pelaksanaan ketiga-tiga projek di Kedah itu tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebaliknya ia dilaksanakan sebagai tanggungjawab kerajaan melalui kementeriannya yang komited untuk mempertingkatkan kesinambungan pengangkutan awam untuk rakyat di negeri itu.

"Semoga projek-projek ini dapat berjalan dengan lancar demi kelestarian dan juga kesejahteraan rakyat negeri kedah," katanya pada sidang media selepas melawat projek terminal Jeti Penumpang Kuala Kedah, di sini.
Turut serta dalam sidang media itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri Kedah.
Anthony berkata, skop utama projek menaik taraf terminal dan jeti Kuala Kedah itu membabitkan kerja meroboh dan membina terminal baharu berkonsepkan teknologi hijau yang mampu menampung 3,000 penumpang berbanding kapasiti sedia ada hanya 800 penumpang.
Sementara itu, Anthony berkata KTMB akan melaksanakan perolehan 12 set 3CS yang tender bagi perolehan itu dijangka diiklankan pada 30 Jun nanti dan perolehan itu dijangkakan mengambil masa selama 36 bulan untuk disiapkan.
Beliau berkata skop utama perolehan itu adalah untuk membekalkan 12 tren elektrik 3CS bagi laluan utara iaitu Butterworth-Padang Besar dan laluan selatan melibatkan Butterworth-Padang Rengas.
"Berdasarkan kepada corak permintaan penumpang, jumlah penumpang di sektor utara dijangka akan terus meningkat dari hari ke hari terutama ketika musim cuti persekolahan dan cuti umum.
"Pada masa ini, perkhidmatan komuter di sektor utara meliputi laluan Padang Besar-Butterworth-Padang Besar dan Padang Rengas-Butterworth-Padang Rengas meliputi 20 stesen," katanya.