fb fb fb fb fb

MOT bakal perluaskan Program MyLesen B2 ke seluruh negara

(FOTO RTM)

SUNGAI PETANI, 30 Mei-Seramai 9,000 individu golongan B40 bakal menerima manfaat menerusi Program MyLesen B2.

Program tersebut merupakan salah satu inisiatif di bawah Belanjawan Madani 2023 di laksanakan Kementerian Pengangkutan Malaysia MOT melalui Jabatan Pengangkutan Jalan JPJ.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata seramai 306 peserta terdiri daripada golongan B40 membabitkan belia, suri rumah, pelajar, penggiat industri GIG dan Orang Kurang Upaya (OKU) menjadi kumpulan pertama penerima.

"Ini adalah kumpulan pertama dan sudah tentulah kita akan laksanakan program ini di seluruh negara.

"Bagi tujuan ini, RM2.7 juta telah diperuntukan.

"Kita juga bersedia bekerjasama dengan agensi-agensi lain antaranya Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) bagi memperluaskan lagi program ini", katanya selepas melancarkan Program MyLesen B2 Peringkat Kebangsaan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sementara itu Anthony berkata MOT berhasrat memperluaskan lagi pelaksanaan program MyLesen membabitkan perkhidmatan kenderaan awam PSV Kelas E bagi bas dalam usaha memastikan industri perkhidmatan tersebut lebih berdaya saing dan selamat.

Anthony Loke berkata ini kerana terdapat kekurangan bilangan pemandu bas di negara ini berdasarkan maklumat daripada pengusaha perkhidmatan berkenaan.

"Kita memang kekurangan pemandu bas, sama ada pemandu bas berhenti-henti atau bas ekspres. Saya difahamkan oleh pengusaha industri bas memang sukar untuk mendapat pemandu bas, buka sahaja sukar untuk rekrut tetapi juga untuk dikekalkan.

"Sebab itu kita buat program ini, nak melatih pemandu untuk mendapat lesen E. Kita mahu melahirkan pemandu-pemandu yang baik, berhemah supaya memastikan industri perkhidmatan bas juga dapat berdaya saing dan selamat, itu yang penting," katanya.




(Menteri Pengangkutan, Anthony Loke/FOTO RTM)

Media Baharu