fb fb fb fb fb

Bekalan gula mencukupi menjelang Aidiladha

(FOTO RTM)

KUALA TERENGGANU,30 Mei-Bekalan gula dijamin terkawal dan mencukupi bagi memenuhi keperluan pengguna menjelang sambutan Aidiladha hujung Jun ini.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata dua kilang terbesar negara telah diarah mengeluarkan bekalan gula pasir kasar dan halus seperti biasa untuk diagih kepada pemborong.

Kedua-dua kilang berkenaan, Central Sugar Refinery Sdn Bhd dan MSM Malaysia Holdings Bhd telah diarah untuk mengeluarkan bekalan gula seperti biasa iaitu masing-masing 24,000 dan 18, 000 tan metrik.

"Kita telah keluarkan arahan kepada kilang agar tidak mengurangkan pengeluaran seperti biasa.

"Sekiranya ada aduan daripada rakyat, kita akan ambil tindakan.

"Masalah gula tidak akan berulang pada Aidiladha", katanya yang ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke sebuah syarikat pemborong gula di sini hari ini.

Lawatan itu bertujuan memantau status bekalan gula di Terengganu yang didakwa mengalami kekurangan kritikal sejak akhir Ramadan lalu.

Tambah Fuziah, KPDN juga melanjutkan tempoh Op Manis yang sepatutnya tamat semalam kepada 30 Jun bagi memastikan gula mencukupi terutama menjelang tempoh perayaan.

Fuziah turut menasihatkan pengguna supaya tidak membuat pembelian panik yang boleh menjejaskan rantaian bekalan gula di pasaran.


(Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
(KPDN) Fuziah Salleh/ FOTO RTM)

Media Baharu