BANGKOK 3 Mei: Malaysia dan Thailand berhasrat untuk menghidupkan semula perkhidmatan kereta api terus antara Kuala Lumpur dan Bangkok tahun ini.
Jelas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, perkhidmatan kereta api terus dapat dilaksanakan dengan segera kerana ia akan menggunakan landasan kereta api sedia ada yang menghubungkan Bangkok - Padang Besar - Butterworth - Kuala Lumpur.
"Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan State Railway of Thailand (SRT) sudah diberikan tempoh tiga bulan untuk membuat persiapan awal bagi memulakan operasi perkhidmatan Kuala Lumpur-Bangkok.
"Ini tidak memerlukan trek baharu tetapi memerlukan koordinasi, pemasaran, serta penjualan tiket secara kerjasama antara kedua-dua negara," katanya selepas mengakhiri lawatan kerja sehari ke Thailand semalam.
Terdahulu, Anthony Loke dalam lawatan kerja sehari ke Thailand, mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand, Suriya Juangroongruangkit.
Beliau turut melawat Stesen Bang Sue Central Terminal dan mendengar taklimat mengenai perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi.