fb fb fb fb fb

Perkeso Perlis bayar faedah RM2.578 juta kepada pencarum

KANGAR, 20 Januari- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perlis telah membuat pembayaran faedah berjumlah RM2.578 juta kepada pencarum yang layak sepanjang tahun 2022.

Pembayaran berkenaan melibatkan 1,754 kes dari pelbagai kategori iaitu Faedah Hilang Upaya Sementara dan Kekal, Faedah Pengurusan Mayat, Penakat, Ilat dan Faedah Orang Tanggungan.

Pembayaran bagi tahun 2022 berkurangan berbanding tahun 2021 yang mencatatkan pembayaran faedah sebanyak RM2.712 juta kepada 1,963 kes.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan, Gan Ay Ling, bagi melindungi pekerja dari sebarang musibah ketika melaksanakan sesuatu pekerjaan, seseorang itu perlu mencarum dalam mana-mana skim caruman disediakan Perkeso menerusi majikan atau secara sukarela.

Manakala yang bekerja sendiri, digalakkan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri yang melibatkan 20 sektor, bagi suri rumah boleh memilih Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah yang dilancarkan 1 Disember lalu.

"Ramai penduduk di negeri Perlis menjalankan pekerjaan sendiri, ramai yang buat pekerjaan sambilan secara kecil-kecilan.

"Pihak Socso negeri Perlis memang prihatin berkenaan isu ini dan memang war-warkan supaya mereka yang bekerja sendiri datang untuk membuat caruman.

"Ini adalah untuk kebaikan mereka dan kita memang haraplah apa-apa yang berlaku, mereka dapat pampasan dan juga tampungan perbelanjaan daripada pihak Socso untuk menanggung dan juga menyokong kehidupan mereka," katanya ketika ditemui media pada Program Penyampaian Mock Cek Faedah, Peralatan Pemulihan dan Hamper Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di Pejabat Perkeso.

(Antara pencarum yang layak menerima faedah Perkeso)

Pada majlis tersebut, tiga orang berinsurans menerima bayaran faedah melibatkan Hilang Upaya Kekal, Faedah Hilang Upaya Sementara dan Pencen Ilat berjumlah hampir RM11,000 melibatkan kes kemalangan ketika bekerja.

Turut hadir, Pengarah Perkeso Perlis, Basharudin Khalid.

Media Baharu