KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Perkembangan lawatan kerja ke Arab Saudi, Turkiye dan Mesir berhubungan dengan serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza antara yang dibincangkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, Tuan Suhaizan bin Kaiat (PH-Pulai) pada sesi soal jawab meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bentuk ancaman yang diterima oleh Malaysia daripada negara-negara barat yang menyokong Israel susulan atas pendirian Malaysia terhadap Palestin.
Selain itu, beliau juga memohon penjelasan berkenaan langkah-langkah yang bakal diambil oleh Malaysia bagi menghadapi segala ancaman ini supaya tidak memberi kesan besar terhadap rakyat dan ekonomi negara.
Dato' Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) pula meminta Perdana Menteri menjelaskan strategi dan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan bagi memitigasi nilai eksport yang menurun sebanyak 8.4% bagi tempoh Januari - September 2023 berbanding dengan tempoh yang sama bagi tahun 2022. Trend menurun ini didapati bermula pada Jun 2023 dan dijangka akan berterusan hingga akhir tahun 2023; dan.
Beliau juga bertanyakan kepada Perdana Menteri mengenai jumlah pelaburan dan jenis/sektor industri yang akan dilaksanakan oleh pelabur-pelabur (secara terperinci) dari Amerika Syarikat, United Arab Emirates (UAE) dan Arab Saudi, iaitu hasil lawatan Perdana Menteri ke negara-negara berkenaan baru-baru ini.
Selain itu, Dato' Haji Shamshulkahar bin Mohd Deli (BN-Jempol) mengutarakan soalan kepada Menteri Pendidikan Tinggi mengenai usaha kementerian bagi memastikan graduan tempatan bersedia memenuhi keperluan tenaga kerja bagi 21 industri tumpuan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Turut dijadualkan, Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir (PN-Setiu) meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan secara terperinci insentif kerajaan bagi memastikan wanita kembali bekerja terutama wanita muda yang berpendidikan sekali gus merapatkan jurang jantina dalam pasaran buruh.
Sementara itu, Tuan Lee Chean Chung (PH- Petaling Jaya) meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, menjelaskan perancangan jangka sederhana untuk pembangunan teknologi battery-swapping motosikal elektrik di Malaysia dan adakah Kementerian akan meneroka kerja sama strategik dengan pemain-pemain industri di negara jiran seperti Oyika Pte Ltd (Singapura) dan Gogoro (Taiwan) untuk membangunkan ekosistem industri battery-swapping yang mampan.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Oktober hingga 30 November ini.