KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Isi kandungan perjanjian persempadanan maritim yang ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia belum boleh dikongsi kepada umum.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata perkara itu dapat didedahkan setelah kedua-dua negara selesai melakukan proses ratifikasi berdasarkan undang-undang domestik negara terlibat.
Katanya, kementerian bagaimanapun tidak menolak untuk berkongsi maklumat lanjut berhubung isu berkenaan sekiranya diminta jawatankuasa khas Parlimen berbuat demikian.

"Di Malaysia amalan kita hanya memadai kita bentang dalam Jawatankuasa Kabinet lebih kepada proses eksekutif, kalau Indonesia legislatif kita kena hormati negara terlibat dan untuk menjaga hubungan diplomatik yang baik," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di Dewan Rakyat berhubung Perjanjian Sempadan Maritim Malaysia - Indonesia.
Pada Jun lalu, Malaysia telah menandatangani perjanjian berkenaan bagi membolehkan kedua-dua negara menjalankan aktiviti penguatkuasaan undang-undang di kawasan maritim masing-masing secara lebih berkesan.