SERI ISKANDAR, 9 Oktober- Kelulusan berkaitan cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Seri Iskandar berhampiran Felcra Nasaruddin, Bota tertakluk kepada keputusan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tapak lokasi cadangan lapangan terbang berkenaan telah dikenal pasti kerajaan negeri dan hanya menantikan persetujuan kedua-dua kementerian tersebut.
Jelas Saarani, projek berkenaan dilihat dapat memenuhi keperluan bagi merancakkan lagi pembangunan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dari segi terminal kargo.
"Saya boleh katakan tanah bagi tapak pembinaan lapangan terbang tersebut kita ada.
"Cuma cadangan kelulusan projek itu tertakluk kepada persetujuan MOT dan MOF. Kalau mereka setuju, maka projek lapangan terbang Antarabangsa Seri Iskandar itu dapat direalisasikan. kita harap mereka setujulah untuk jangka masa panjang", katanya ketika ditemui pemberita di Program "Tanya Cikgu Saarani" di Dewan Seri Iskandar, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.
Ujar Saarani, kertas cadangan itu telah pun dibawa dan dibincangkan dengan pihak kementerian berkaitan dalam siri perjumpaan sebelum ini.
(Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad)