fb fb fb fb fb

Perjanjian Malaysia 1963, pemberian khas sedang diselaras Kementerian Kewangan

(Foto hiasan)

BACHOK, 5 Mac- Pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada Sarawak dan Sabah sedang diselaraskan Kementerian Kewangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ketika ini Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak sedang berunding untuk memuktamadkan formula dan indikator yang digunakan untuk menentukan kadar peningkatan itu.

Beliau menjelaskan secara prinsipnya telah ada persetujuan dari kerajaan untuk meningkatkan pemberian khas itu melalui semakan.

"Insyallah saya di fahamkan perkara ini sedang di selaraskan oleh Kementerian Kewangan persekutuan bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak dan sebaik sahaja ada keputusan muktamad, saya yakin YAB Perdana Menteri akan mengumumkan", katanya.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas)
Datuk Armizan Mohd Ali)

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-13 Tahun 2022 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkata kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan pemberian khas kepada Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM300 juta.

Mengulas lanjut, Datuk Armizan berkata Perdana Menteri telah mengarahkan supaya 28 isu tertunggak sejak 2016 disusun semula oleh setiap agensi yang terlibat.

Media Baharu