fb fb fb fb fb

Agong zahir hasrat KOA Kuala Boh jadi kampung contoh

(Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah berkenan berangkat ke KOA Kuala Boh)

CAMERON HIGHLANDS, 5 Mac- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke taklimat kerja-kerja penambaikan perkhidmatan telekomunikasi di Kampung Orang Asli (KOA) Kuala Boh, di sini, hari ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat mengiringi Al-Sultan Abdullah dalam lawatan itu.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf serta barisan Exco Pahang.

Sempena lawatan tersebut, Al-Sultan Abdullah bertitah agar Kampung Orang Asli Kuala Boh dapat dijadikan sebagai kampung contoh yang lengkap dengan kemudahan telekomunikasi.

"Hasrat saya, kalau boleh, saya nak tengok kampung ini jadi kampung yang dicontohi daripada segi kebersihan, kecantikan dan keharmonian.

"Segala apa yang boleh pihak kerajaan tunai, harus ditunaikan dalam masa terdekat," Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas mendengar taklimat daripada Ketua Pengarah Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Datuk Ali Hanafiah Mohd Yunus berhubung kerja-kerja penambaikan perkhidmatan telekomunikasi meliputi tiga projek iaitu Projek Broadband Wireless Access (BWA), Projek Interim dan Projek Menara.

Januari lalu, Al-Sultan Abdullah bercemar duli ke kampung sama bagi meninjau permasalahan telekomunikasi di kampung tersebut.

Dalam pada itu, Tunku Hajah Azizah berkenan mencemar duli memasak untuk penduduk di kampung itu.

Masakan cucur durian sentuhan Raja Permaisuri Agong itu dinikmati oleh lebih 300 penduduk setempat.


(Tunku Hajah Azizah berkenan mencemar duli memasak cucur durian untuk penduduk

di KOA Kuala Boh)

Media Baharu