Perjanjian LNG dengan Jepun terus perkukuh kedudukan tenaga Malaysia

Muhammad Kamil Abdul Munim/ BERNAMA

KINTA, 13 Jun – Kerjasama jangka panjang bekalan gas asli cecair (LNG) Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) kepada Jera Co Inc dari Jepun menjadi bukti kukuh keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia sebagai pembekal tenaga yang stabil dan dipercayai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian mengukuhkan hubungan strategik Malaysia-Jepun dalam sektor tenaga.
  • Hubungan dagang lama menjadi asas kukuh pemeteraian kerjasama strategik.
  • Dijangka memberi manfaat ekonomi melalui pulangan dan dividen kepada negara.
  • Malaysia menerusi PETRONAS akan membekalkan dua juta tan LNG setahun selama 20 tahun bermula 2028.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perjanjian itu memperlihatkan kedudukan Malaysia terus diyakini dalam pasaran tenaga global, khususnya Jepun.

Hubungan dagang yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Jepun dalam sektor petroleum menjadi asas kukuh kepada pemeteraian kerjasama strategik tersebut.

“Ini merupakan perkembangan yang positif kerana dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu ketika ini, Malaysia menjadi antara negara yang mendapat perhatian banyak negara, khususnya dalam usaha mendapatkan sumber bekalan tenaga.

“Sebab itu kita bersetuju menjalin kerjasama strategik dengan syarikat JERA dari Jepun, memandangkan negara telah lama mempunyai hubungan perdagangan dalam sektor industri petroleum dengan syarikat tenaga Jepun sejak awal penubuhan industri petroleum negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sesi 2026 Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Rambutan, di sini.

Dalam pada itu perjanjian berkenaan turut mengukuhkan hubungan strategik Malaysia–Jepun dalam sektor tenaga, selain dijangka memberi manfaat ekonomi melalui pulangan dan dividen kepada negara.

Malaysia menerusi PETRONAS akan membekalkan dua juta tan LNG setahun kepada syarikat utiliti Jepun, JERA, bawah perjanjian jangka panjang selama 20 tahun bermula 2028.

Kerjasama itu sekali lagi mencerminkan keyakinan berterusan terhadap Malaysia sebagai rakan tenaga yang stabil, dipercayai dan berdaya saing di peringkat global.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.