KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Perjanjian gencatan senjata yang bakal ditandatangani antara Thailand dan Kemboja menjadi titik tolak penting ke arah memastikan keamanan serta kestabilan, khususnya di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Perjanjian itu turut melibatkan penubuhan pasukan pemerhati ASEAN di kawasan sempadan yang bergolak.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata inti pati perjanjian tersebut menekankan pelaksanaan penuh gencatan senjata dengan kedua-dua negara perlu menarik balik senjata berat dari kawasan sempadan.
Tambah beliau, Malaysia turut berharap agar melalui perjanjian ini, tiada lagi sebarang pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata.
“Dan kedua-dua negara perlu berusaha membersihkan atau memusnahkan bahan api fosil yang ditanam di sempadan. Ini adalah dua sebab utama gencatan senjata diadakan.
"Kami berharap gencatan senjata ini akan kekal lama. Kami juga menggesa kedua-dua negara supaya berbincang bersama untuk menyelesaikan masalah sempadan antara mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Malaysia akan terus menghormati prinsip serta piagam ASEAN yang menolak sebarang bentuk campur tangan dalam urusan dalaman atau pertikaian antara negara anggota.