KUALA LUMPUR, 25 Oktober -Malaysia berharap dapat mengekalkan kadar tarif sifar bagi sektor elektrik dan elektronik (E&E) melalui Perjanjian Perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang akan dimeterai esok.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu merupakan perkembangan penting yang dijangka memberi impak positif kepada sektor E&E yang menjadi tunjang utama eksport negara ke Amerika Syarikat.
"Tetapi saya berharap kita dapat memuktamadkan perjanjian perdagangan antara AS dan Malaysia. Dan apa yang kami nikmati hari ini, 19%, dan juga tarif sifar ke atas E&E, kerana 60% daripada eksport Malaysia ke AS adalah dalam bentuk E&E. Jadi jika kami dapat mengekalkannya, kami sangat gembira," katanya dalam sidang media khas hari ketiga Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di ibu negara.
Ketika ditanya sama ada kejayaan rundingan antara Malaysia dan Amerika Syarikat ini boleh dijadikan panduan kepada negara-negara ASEAN lain, beliau menjelaskan bahawa setiap negara mempunyai keutamaan tersendiri dalam rundingan perdagangan masing-masing.
Sementara itu, ASEAN Pasukan Petugas Geoekonomi (AGTF) turut mengemukakan beberapa saranan kepada ASEAN, antaranya memperdalam integrasi serantau, memperkukuh keupayaan dan agensi ASEAN, serta menggiatkan usaha ke arah memperkukuh multilateralisme.
Selepas mesyuarat itu, para Menteri menugaskan pegawai kanan masing-masing bersama Setiausaha ASEAN untuk meneliti cadangan AGTF dan mengemukakan penilaian serta langkah seterusnya.