KUALA LUMPUR, 10 November - Dimansuhkan pada Ogos 2018, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kembali menjadi topik perbincangan pelbagai pihak selepas kerajaan memutuskan untuk melaksanakan kembali program kenegaraan tersebut.
Antara yang dibangkitkan oleh masyarakat ialah isu kos memandangkan pelaksanaan program itu sebelum ini menelan perbelanjaan yang besar, dan rata-rata menyuarakan kebimbangan PLKN 3.0 mengulangi kesilapan tersebut, lebih-lebih lagi ketika negara sedang mendepani ketidaktentuan ekonomi sekarang.
Sebelum ini dilaporkan kerajaan membelanjakan sebanyak RM8.43 bilion bagi program tersebut sejak dimulakan pada 2004, dengan 43 peratus daripada jumlah itu hanya untuk penyewaan kem swasta di seluruh negara.
Pada masa sama, mereka juga menyuarakan kebimbangan tentang kemampuan program membentuk masyarakat yang patriotik, berintegriti serta berinsaniah seperti yang dimatlamatkan oleh kerajaan, memandangkan PLKN hanya berlangsung selama 45 hari.
Hal ini berbeza dengan Khidmat Negara Singapura yang mewajibkan warganegara lelaki berusia 18 tahun menyertai sistem kerahan tenaga selama dua tahun, sementara Korea Selatan pula mewajibkan semua lelakinya yang berusia 18 hingga 35 tahun menjalani latihan ketenteraan selama hampir dua tahun.
Mengulas perkara itu, pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Norazlan Hadi Yaacob berharap kerajaan memberikan penjelasan yang terperinci berhubung mekanisme PLKN 3.0, yang sebahagian besarnya akan berbentuk ketenteraan.
HALA TUJU
Terlibat dalam menghasilkan modul PLKN sebelum ini, Norazlan Hadi berharap modul baharu yang akan diperkenalkan nanti diberi nilai tambah seiring dengan cabaran semasa.
“Saya berharap modul dan tenaga pengajar yang akan diperkenalkan nanti melibatkan kalangan profesional dan berpengalaman dalam bidang masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pelaksanaan semula PLKN diumumkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Rakyat pada 9 Okt lepas, yang turut berkata sekitar 90 peratus latihan di 13 kem Rejimen Askar Wataniah sedia ada akan melibatkan latihan ketenteraan dan 10 peratus merupakan modul pembinaan negara.
Mengulas lanjut, Norazlan Hadi juga berpendapat modul terdahulu sudah cukup baik kerana turut menggabungkan latihan asas ketenteraan.
Malah kata beliau, program itu yang memberi penekanan pada aspek kenegaraan merangkumi perlembagaan, institusi diraja, pentadbiran kerajaan dan undang-undang berjaya mendedahkan pelatih kepada semangat patriotik dan sayangkan negara.
Tidak semua orang faham tentang aspek kenegaraan kerana ini hanya diajar dalam subjek Pengajian Am bagi pelajar tingkatan enam, ujar beliau.
Beliau juga berkata pelaksanaan kembali PLKN 3.0 wajar disambut baik kerana program itu antara wadah terbaik dalam menyemarakkan kebersamaan dan keterjalinan hubungan masyarakat majmuk yang berbeza latar belakang, budaya dan agama.
Selain itu, kajian tentang keberkesanan program PLKN yang dijalankan pada 2016 mendapati tempoh tiga bulan latihan tersebut menunjukkan keputusan memberangsangkan apabila hampir 91.5 peratus responden memberi maklum balas positif berkaitan isu kenegaraan sementara sekitar 98.5 peratus menyatakan kesanggupan mereka berkorban demi mempertahankan negara.
“PLKN sebenarnya sangat membantu dalam membentuk rasa sepunya apabila pelatih menyedari tanggungjawab mengekalkan keamanan negara adalah secara bersama tanpa mengira latar belakang.
“Pentingnya kerana ada dalam kalangan peserta daripada sekolah jenis kebangsaan, aliran agama ataupun sekolah kebangsaan yang memungkinkan perbezaan dalam cara mereka berfikir, bergaul dan memahami sesuatu,” katanya, menambah perbezaan itu dapat diatasi dengan mewujudkan semangat kebersamaan melalui aktiviti dalam latihan PLKN.
SATU KESILAPAN
Atas faktor itu jugalah bekas Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berpandangan pemansuhan program yang dapat melahirkan barisan pemimpin masa depan negara tersebut sebagai satu kesilapan.
Sepatutnya program itu ditambah baik bagi mengatasi kelompongan dan pelbagai kritikan yang diterima, bukan mengambil jalan mudah dengan memansuhkan, katanya.
“Program ini sangat relevan untuk diteruskan, malah tidak ada negara yang sudah memulakan program seumpama ini kemudian ditamatkan sepertimana yang dibuat di negara ini.
“Menggunakan kem tentera untuk PLKN 3.0 mungkin merupakan jalan terbaik dalam meminimumkan kos dan juga sebagai langkah penjimatan kerana tidak perlu lagi mengeluarkan kos menyewa kem swasta,” katanya.
Sebelum ini, kebanyakan kem yang digunakan untuk menjayakan PLKN adalah kem motivasi yang turut menjalankan program Biro Tatanegara, dan kesemua kem terbabit perlu memenuhi spesifikasi termasuk menyediakan fasiliti latihan dan juga penginapan.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi menyarankan kerajaan melakukan pengambilan semula jurulatih PLKN siri lepas bersandarkan pengalaman mereka, sekali gus dapat menjimatkan kos berbanding melatih tenaga pengajar baharu.
PLKN 3.0 akan membabitkan dua fasa dengan yang pertama akan melibatkan pelajar tingkatan empat melalui silibus Kementerian Pendidikan yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap.
Fasa dua pula melibatkan pelajar tingkatan lima yang dikecualikan daripada mengikuti latihan di fasa satu bagi membantu mereka menumpukan perhatian pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
“Sekiranya pelajar tingkatan lima diberi pelepasan, saya berpandangan pelajar tingkatan empat yang menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama di sekolah agama negeri juga perlu diberi pelepasan,” katanya yang berkhidmat sebagai ketua pengarah JLKN dari 2007 hingga 2014.
JLKN merupakan jabatan yang ditubuhkan untuk merancang, melaksana dan memantau, menilai serta mengendalikan program latihan tersebut mengikut dasar yang ditetapkan kerajaan.
Ketika ditanya perbezaan PLKN dengan negara lain, Abdul Hadi berkata Malaysia menjadi negara perintis dalam mewujudkan program seumpama yang tidak memberi penekanan latihan bidang ketenteraan semata-mata berbanding negara lain seperti Korea Selatan dan Singapura.
Biarpun begitu, modul PLKN sebelum ini telah menjadi contoh kepada negara lain termasuk Brunei yang turut mendapatkan khidmat Malaysia dalam mewujudkan program sedemikian di negara mereka.
TAMBAH BAIK
Bekas pelatih PLKN, Mohd Nazrin Faiz Che Abd Aziz, 34, berpandangan PLKN 3.0 perlu ditambah baik dengan menerapkan pelbagai kemahiran yang dapat membantu peserta memasarkan diri dan melengkapkan mereka sebelum ke alam pekerjaan.
Katanya PLKN wajar dijadikan platform untuk mengenal pasti kebolehan dan kecenderungan pelatih sama ada untuk meneruskan pengajian dalam akademik ataupun latihan teknikal dan vokasional (TVET).
“Dalam cabaran semasa, saya melihat peserta tidak hanya perlu diterapkan dengan latihan yang mengukuhkan disiplin semata-mata atau aspek kenegaraan, sebaliknya mereka juga perlu didedahkan kepada bidang-bidang kerjaya yang bersesuaian dengan kehendak pasaran hari ini.
“Ini penting supaya individu yang menjalani latihan PLKN nanti mendapat manfaat daripada pelbagai aspek disiplin, kerohanian, kepimpinan selain mengenal pasti hala tuju yang akan dipilih selepas ini,” katanya yang merupakan Presiden Alumni Yayasan Bridged Sukarelawan Khidmat Negara (Alumni PLKN).
Mohd Nazrin yang juga seorang guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Selangor, berkata hubungan kebersamaan mereka masih kekal utuh walaupun sudah tamat program kerana masih terlibat dalam pelbagai projek kemasyarakatan dan kemanusiaan di dalam dan luar negara.
Semangat kerjasama yang dipupuk dalam setiap aktiviti sepanjang tiga bulan menjalani latihan PLKN telah membentuk jati diri yang lebih kental dan membina hubungan baik sesama pelatih seperti sebuah keluarga besar tanpa dibatasi perbezaan agama, bangsa dan latar belakang.
“Sepanjang tiga bulan latihan, kami sentiasa bersama dari pagi sampai habis latihan... kami bersusah payah bersama, mengenali dengan lebih rapat budaya dan agama kaum lain yang mungkin sebelum ini tidak ada peluang untuk berbuat demikian.
“Kerana itu saya berpandangan amat wajar program ini dikembalikan agar perpaduan generasi muda hari ini dapat disemarakkan lagi, terutama dengan situasi semasa yang semakin mencabar,” katanya. - BERNAMA