fb fb fb fb fb

Deepavali: Tol percuma bermula esok

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 November- Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma kepada pengguna lebuh raya bermula esok hingga Ahad ini, bersempena perayaan Deepavali yang akan disambut pada 12 November 2023.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

"Inisiatif itu dilaksanakan bagi meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali.

"Ia juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan," kata Alexander menerusi kenyataan.

Tambah Alexander, pengguna diharap memanfaatkan peluang tersebut, selain merancang perjalanan dengan sebaiknya.

Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau Travel Time Advisory (TTA) yang disyorkan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM