KEMAMAN, 19 Oktober- Seekor harimau kumbang yang dipercayai tersesat dari kawasan Hutan Simpan Cherul, Hulu Kemaman, Terengganu berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pada Rabu.
Pengarah PERHILITAN Terengganu, Loo Kean Seong berkata harimau kumbang jantan dengan anggaran berat kira-kira 30 kilogram itu berjaya memasuki perangkap kira-kira pukul 11.40 malam, Selasa lalu.
Menurut Kean Seong, pihaknya melakukan pemantauan rapi sebelum memasang perangkap di kawasan berkenaan selama lebih lapan jam sebelum binatang berkenaan berjaya ditangkap.
Harimau kumbang berkenaan berada dalam keadaan sihat dan telah dibawa keluar dari kawasan ladang sawit dan akan dilepaskan semula ke hutan bersesuaian di negeri itu.
Ahad lalu, pihaknya ada menerima aduan berhubung keberadaan haiwan liar itu di Ladang Kelapa Sawit Putra North, Cherul kawasan kebun sawit menyebabkan para pekerja takut untuk keluar berkerja.
Kean Seong meminta orang ramai segera membuat laporan sekiranya ada maklumat berkaitan kehadiran haiwan liar di kawasan mereka untuk tindakan segera bagi menjamin keselamatan dan menyelamatkan haiwan berkenaan.
(Perangkap yang dipasang oleh PERHILITAN berjaya menangkap harimau kumbang
yang berkeliaran di sekitar kawasan kebun sawit penduduk)