fb fb fb fb fb

Manfaat keupayaan industri halal, kukuh industri minyak sawit

PUTRAJAYA, 19 Oktober- Industri minyak sawit perlu memanfaatkan keupayaan dimiliki industri halal negara untuk memperkukuh usaha mempromosi minyak sawit khususnya melibatkan pasaran baharu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, standard pensijilan halal Malaysia telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Perkara itu sekali gus menyumbang kepada usaha mengembangkan ekonomi halal secara keseluruhannya dengan potensi pasaran lebih dua bilion populasi di seluruh dunia.

“Pasaran halal dunia sebenarnya begitu besar sekali. Di sini ialah jaringan bersama apabila Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) ini bukan sahaja melihat kepada kemampanan tetapi pada masa sama pematuhan kepada halal. Supaya kita boleh menerokai pasaran lebih luas di pasaran halal dunia.

"Kerjasama agensi silang ini diharap dapat memberi kesan lebih baik kepada produk Malaysia berhubung kait dengan kelapa sawit," katanya selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dengan Halal Development Corporation (HDC) di sini.

Kerjasama strategik tersebut bagi tujuan promosi silang selain peluang baharu berkaitan industri sawit dan industri halal.

Pada tahun 2022 nilai eksport halal Malaysia mencecah RM59.4 bilion, daripada angka itu 4.7 peratus atau RM2.8 bilion adalah produk berasaskan sawit.

"Bagi sektor ramuan halal berasaskan sawit telah meningkat kepada 73.1 peratus berbanding sebelum ini iaitu 70 peratus. Ia mencatatkan RM23.35 billion pada tahun sama," kata beliau.

MPOCC diwakili pengerusinya Datuk Dr Zuzana Idayu Wati Osman manakala HDC diwakili Ketua Greater Islamic Economy Zamulud Awang Kechik.

(Datuk Seri Fadillah Yusof)

Media Baharu