KUALA LUMPUR, 19 Oktober- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyasarkan sekurang-kurangnya RM100,000 sumbangan sebagai tanda solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin akibat serangan rejim zionis Israel di negara tesebut.
Sebagai menyokong perkara itu Tabung Kemanusiaan Palestin Gerakan Koperasi Malaysia dilancarkan pada 16 Oktober lalu bagi menyalurkan dana bantuan kepada penduduk negara itu.
Tabung itu dilancarkan ketika Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah dan Kepimpinan Tertinggi ANGKASA mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di Pusat Dagangan Dunia di ibu negara.
"Gerakan koperasi mempunyai tanggungjawab menjaga kemakmuran hidup merentasi
agama, bangsa dan rentas negara. Situasi di Palestin pada masa ini perlu diberi perhatian dan bantuan sewajarnya oleh semua pihak tanpa mengira pegangan agama kerana ianya melibatkan isu kesejahteraan kehidupan manusia sejagat," kata Abdul Fattah Abdullah dalam satu kenyataan dikeluarkan ANGKASA.
Dalam kenyataan itu juga ANGKASA turut "menyeru seluruh warga koperasi serta masyarakat awam untuk bersama-sama membantu penduduk Palestin yang berada dalam situasi pergolakan ketika ini."
Orang ramai dan anggota koperasi boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB ISLAMIC: 86-0044543-3 dengan rujukan sumbangan COOPMalaysia4Palestine atau melayari laman web rasmi dan media sosial ANGKASA.
(Sumbangan boleh diberikan menerusi akaun CIMB ISLAMIC tertera)