KEMAMAN, 19 Oktober- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bersiap siaga sepenuhnya jika berlaku banjir berikutan musim tengkujuh semakin hampir.
Pengarah JKNT, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, seramai 761 petugas perubatan dan kesihatan daripada 160 pasukan, sedia ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
"Bagi menangani isu banjir di Terengganu tahun ini, kita bersedia dengan seramai 761 petugas iaitu menjadikan 160 pasukan di JKNT ini di mana 361 atau 80 pasukan adalah untuk aktiviti pencegahan dan 400 petugas iaitu 80 pasukan akan memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan rujukan jika perlu", katanya.
Beberapa siri mesyuarat dan taklimat di peringkat negeri dan daerah turut diadakan bagi melihat keperluan persiapan banjir.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Gotong Royong Mega Perangi Aedes dan One Hour Clean Up Peringkat Negeri Terengganu di perkarangan Masjid Kampung Paya Berenjut, Kemaman.

(Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong)