fb fb fb fb fb

Perhalusi secermatnya isu kalimah Allah tanpa jejas fatwa - Sultan Johor

(Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

JOHOR BAHRU, 24 Mei- Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan pihak berkaitan untuk memperhalusi dengan cermat dan sebaiknya, kesan menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan isu kalimah Allah.

Ini kerana titah baginda, isu itu berkait rapat dengan isu yang berada dalam sempadan agama Islam dan sentimen umat islam negara ini.

"Peraturan, tindakan kawalan, penguatkuasaan dan penyelarasan kalimah Allah perlu diperincikan tanpa menjejaskan fatwa dan enakmen negeri bagi memastikan keharmonian serta perpaduan masyarakat Majmuk terpelihara," titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Baginda berpendirian, penerbitan, percetakan, penyiaran dan pengedaran bahan yang mengelirukan rakyat terutama umat Islam tidak dibenarkan di Johor, sejajar dengan kedudukan Islam yang terkandung dalam undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895.

"Di negeri Johor, fatwa yang diwartakan pada 4 Jun 2009 jelas menyatakan, penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan serta ditegah dan dilarang," titahnya.

Johor juga memiliki enakmen kawalan dan sekatan pengembangan agama-agama bukan islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah-kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan orang bukan Islam kecuali dalam keadaan atau amalan yang dibenarkan perundangan seperti dalam Lagu Bangsa Johor.

(Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)
 

 

Media Baharu