fb fb fb fb fb

LIMA' 23: Perkukuh Malaysia sebagai hab serantau aeroangkasa, maritim

LANGKAWI, 24 Mei -Pengajuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA' 23) berupaya memperkukuh Malaysia sebagai hab serantau bagi industri aeroangkasa dan maritim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata menerusinya objektif Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) dan Pelan Induk Perkapalan Malaysia mampu direalisasikan.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

"Saya berbangga kerana negara kita memainkan peranan penting dalam pertumbuhan industri aeroangkasa dan marin.

"Pada 2021 sahaja ia bernilai hampir AS$300 bilion dalam aeroangkasa dan AS$170 bilion dalam maritim," kata Anwar ketika berucap selepas melakukan lawatan ke Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini.

Datuk Seri Anwar sebelum itu melakukan lawatan ke pameran statik yang mempamerkan beberapa aset pertahanan udara antaranya F/A18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di landasan terbang atau tarmac berhadapan MIEC.

Anwar turut meluangkan masa bertemu barisan pasukan udara yang terlibat dengan pertunjukan aerobatik membabitkan lima buah negara.

Ini termasuk Indonesia, China, Korea Selatan, Rusia dan Emiriah Arab Bersatu.

Sementara itu, Anwar turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan Kebangsaan Korea Selatan, Lee Jong-sup.

Pertemuan yang berlansung selama setengah jam itu membincangkan pelbagai perkara mengenai isu semasa dan industri pertahanan kedua-dua negara.

Turut sama pada pertemuan tersebut, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Jong-sup yang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia sempena LIMA’ 23 turut melawat pameran di MIEC dan dijadual pulang ke Korea Selatan, hari ini.

Beberapa perjanjian persefahaman (MOU) turut dimeterai antara Malaysia dan Korea Selatan menerusi pameran dwitahunan ini, selain mengadakan penerbangan persahabatan TUDM dan Black Eagles.

Selain Lee Jong-sup, Anwar turut menerima kunjungan Menteri Pengangkutan dan Penerbangan Awam Somalia, Fardowsa Osman Egal.

Media Baharu