KUALA LUMPUR, 23 November - Sebuah jawatankuasa khas bersama dijadual mengadakan mesyuarat pada Isnin, 24 November, bagi meneliti semua isu teknikal, operasi, dan koordinasi antara agensi dalam sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata mesyuarat tersebut akan memberi tumpuan kepada isu yang dibangkitkan termasuk integrasi sistem dengan perkhidmatan ambulans swasta yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Saya telah meminta Telekom Malaysia (TM) mengintegrasikan penggunaan MyDigital ID, selain mengambil kira pandangan orang ramai mengenai pengalaman pengguna aplikasi SaveME999,” katanya.
Menurut beliau, aplikasi SaveME999 telah melalui penambahbaikan dengan menggabungkan tiga aplikasi SaveMEBlind, SaveMEDeaf dan SaveMEPolice bagi menghantar maklumat lokasi dan kecemasan secara digital.
“Aplikasi SaveME999 bukan dibangunkan dengan kos RM1.25 bilion. Aplikasi ini telah wujud sejak 2013. Bagi sistem baharu NG MERS 999, ia ditambah baik dengan menyatukan beberapa ciri dan aplikasi sedia ada, khususnya untuk golongan OKU yang tidak dapat melihat atau mendengar,” jelasnya.
Menurut Datuk Fahmi, kos utama sistem adalah bagi pengurusan data dan pusat data.
“Kos pembangunan aplikasi adalah minimum. Kos utama iaitu sekitar RM880,000 setahun melibatkan pengurusan data, bukan pembangunan aplikasi,"” katanya.
Beliau turut memaklumkan terdapat operator ambulans swasta yang diintegrasikan dengan sistem NG999, namun sebahagiannya masih tidak berdaftar termasuk 20 ambulans di bawah aktivis masyarakat Uncle Kentang.
“Saya akan bermesyuarat dengan Yang Berhormat Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad esok pada jam 6 petang. Kita akan menetapkan terms of reference dan mengaktifkan jawatankuasa kerja bagi meneliti isu ambulans yang tidak berdaftar dengan KKM.
“Saya juga telah menghubungi Uncle Kentang dan meminta beliau berhubung dengan KKM untuk melengkapkan pendaftaran ambulansnya,” katanya.
Menurut beliau, jawatankuasa kerja berkenaan turut akan meneliti aspek teknikal, termasuk mekanisme terbaik untuk membantu KKM dalam pengurusan lebih 7,000 ambulans, serta memastikan pemandu dan pengendali ambulans dapat menggunakan sistem NG MERS 999 dengan lebih berkesan.
Menurut beliau, jawatankuasa kerja berkenaan turut akan meneliti aspek teknikal, termasuk mekanisme terbaik untuk membantu KKM dalam pengurusan lebih 7,000 ambulans, serta memastikan pemandu dan pengendali ambulans dapat menggunakan sistem NG MERS 999 dengan lebih berkesan.
Antara aspek yang diberi tumpuan ialah kelengkapan peranti di semua ambulans dan sokongan operasi kepada pengguna sistem di lapangan.
Sistem NG999 kini merangkumi lebih 800 lokasi di seluruh negara dua kali ganda berbanding sistem MERS999, sekali gus meningkatkan keberkesanan respon kecemasan.