fb fb fb fb fb

‘Perempuan itu’, stesen penyiaran harus peka sensitiviti agama

KUALA LUMPUR, 21 Mac- Stesen penyiaran, penerbit, penulis skrip dan para pelakon digesa supaya lebih cakna dalam pemilihan adegan-adegan drama agar tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff dalam satu kenyataan menegaskan, jabatan itu tidak akan berkompromi dengan isu-isu seumpama itu yang jelas memberi kesan kepada budaya dan amalan murni masyarakat.

Beliau merujuk sedutan video adegan panas dalam drama 'Perempuan Itu' yang tular di media sosial.

"Jakim menentang keras penyiaran program seumpama ini yang jelas mempamerkan perbuatan-perbuatan dilarang oleh Islam dengan aksi dan adegan tidak bermoral.

Kenyataan sama turut menegaskan "drama seumpama ini tidak wajar disiarkan pada bila-bila masa apatah lagi pada bulan Ramadan."

Jakim juga telah menyatakan pendirian kepada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia supaya tindakan tegas dan segera dapat diambil.


(Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Hakimah Mohd Yusoff/Foto FB Jakim)

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata pihak Jakim akan memanggil produksi drama Perempuan Itu termasuk pelakonnya Zul Ariffin serta Siti Hariesa berkait adegan 'panas' yang bercanggah dengan tuntutan agama dan budaya hidup masyarakat di negara ini.

Jakim juga dinyatakan akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bagi membincangkan perkara tersebut dengan lebih lanjut.

Media Baharu