fb fb fb fb fb

JPA pantau pengambilan baharu segerakan pengisian jawatan

PUTRAJAYA, 21 Mac- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan membuat pemantauan berterusan menerusi audit perjawatan bersama agensi untuk memastikan urusan pengambilan dapat dilaksanakan dengan segera bagi mengisi jawatan-jawatan yang telah diluluskan oleh agensi pusat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah berkata, pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) merupakan salah satu contoh pendekatan segera yang responsif terhadap keperluan rakyat oleh kedua-dua agensi bagi memastikan ia diselesaikan dengan baik.

"Pada Jun 2021, JPA telah meluluskan permohonan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi urusan pengambilan khas sebanyak 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) secara 'one-off'.

"Kelulusan segera kepada KPM untuk membolehkan pengambilan dibuat bagi menangani kekurangan guru di sekolah rendah dan sekolah menengah khususnya dalam mata pelajaran tertentu," katanya menerusi kenyataan media di sini.

Menurutnya lagi, pada Disember tahun lalu JPA juga telah meluluskan permohonan kelonggaran syarat pukal skim perkhidmatan untuk pelantikan secara kontrak (Contract Of Service) bagi 4,266 calon guru kontrak di bawah urusan pengambilan 18, 702 PPP.

"Pelaksanaan segera ini menunjukkan komitmen Kerajaan dalam meningkatkan kecekapan sistem penyampaian menerusi pengisian jawatan secara optimum," ujarnya.

Mengenai kekosongan 11,111 perjawatan dalam pasukan Polis  Diraja Malaysia (PDRM), JPA berkata mekanisme penempatan dan latihan yang fleksibel serta mempunyai nilai tambah menerusi penggunaan teknologi dapat membantu kecekapan pengisian kekosongan perjawatan yang ada.

"Oleh itu, JPA akan membuat pemantauan berterusan menerusi audit perjawatan bersama agensi untuk memastikan urusan pengambilan dapat dilaksanakan dengan segera bagi mengisi jawatan-jawatan yang telah diluluskan oleh agensi pusat," menurut kenyataan itu lagi.

 
(Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah)

Pada Jumaat lalu, Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Zaini Jass dalam sidang media di Melaka memaklumkan terdapat 11,111 kekosongan perjawatan dalam PDRM hingga 31 Januari.

Media Baharu