fb fb fb fb fb

2.7 juta orang murid hadir pada hari pertama bagi sesi persekolahan 2022/2023 - KPM

IPOH, 21 Mac- Kira-kira 2.7 juta orang murid hadir pada hari pertama sesi persekolahan penggal satu kalendar 2022/2023 hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata daripada jumlah itu seramai 442,828 orang terdiri daripada murid tahun satu.

Menurut beliau pembukaan sekolah hari ini juga turut melibatkan 30,853 orang pelajar sekolah vokasional tahun 2, 3 dan 4 seluruh negara.

"Sekitar 2.6 juta orang murid yang hadir secara bersemuka di sekolah-sekolah seluruh negara khususnya di sekolah rendah, untuk sekolah menengah ada sekitar 30,000 orang murid sekolah menengah iaitu di KV yang hadir ke sekolah pada hari ini.

"Jika kita lihat kehadiran di sekolah-sekolah khususnya dalam kalangan murid tahu satu cukup baik. Sebanyak 7,778 sekolah kebangsaan dan 87 buah kolej vokasional beroperasi hari ini," kata Radzi Jidin kepada pemberita RTM selepas mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan Syed Idrus, Kampung Ulu Kuang, di sini.

Terdahulu beliau juga sempat meninjau enam buah sekolah lain antaranya Sekolah Pakatan Jaya dan Sekolah Seri Tanjung di Ulu Kinta.


(Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin sempat meluangkan masa bersama murid-murid
di sekolah dalam tinjauannya ke enam buah sekolah pagi tadi)

Sementara itu, perincian berhubung laporan guru bersara awal disebabkan COVID-19 seperti yang tular di media sosial akan dikemukakan Kementerian Pendidikan (KPM) sejurus laporan lengkap diperoleh.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata faktor utama guru-guru berkenaan memilih untuk bersara lebih awal hanya akan dapat dipastikan selepas laporan lengkap diterima.

Jelas beliau, setakat ini pihaknya sedang mengumpul maklumat berkaitan isu tersebut. 

"Jadi kita sedang susun data-data ini untuk kita perincikan sedikit lagi. Kita dah jelaskan jumlah dan sebagainya cuma perincian itu tentang sebab, punca dan ini akan kita lihat satu persatu dan guru yang pada umur macam mana, berapa lama dalam karier, yang membuat keputusan untuk bersara awal ni. Kita sedang perincikan satu persatu untuk kita lihat dengan lebih menyeluruh perkara ini," tambahnya.

Media Baharu