fb fb fb fb fb

Perdana Menteri tiba di Kemboja untuk lawatan rasmi

PHNOM PENH, 23 Februari - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Kemboja.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri bersama delegasi mendarat kira-kira pukul 5.20 petang waktu Malaysia.

Ketibaan Perdana Menteri serta delegasi disambut oleh Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Othsman Hassan sebagai mewakili kerajaan Kemboja. Othsman juga merupakan menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal masyarakat Islam di Kemboja.

Perdana Menteri diiringi Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias, Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan pegawai kanan kerajaaan.

Ismail Sabri juga akan menghadiri majlis makan malam bersama Keluarga Malaysia di Kemboja, di sini hari ini.

Memulakan lawatan rasminya pada Khamis ini dengan melawat tugu peringatan kemerdekaan dan meletakkan kalungan bunga diikuti upacara yang samai di Monumen Preah Borom Ratanak Kaudh untuk memperingati mendiang Raja Norodom Sihanouk.

Ketibaan beliau akan disambut dengan lagu kebangsaan bagi kedua-dua negara kemudia diikuti dengan acara lintas hormat yang akan diiringi Hun Sen di Peace Palace Phnom Penh.

Dalam pertemuan empat mata itu, kedua-dua pemimpin berkenaan akan membincangkan hubungan dua hala, isu serantau selain daripada kerjasama di peringkat antarabangsa.

Ismail juga dijadualkan menghadiri majlis mengadap Raja Kemboja, Baginda Norodom Sihamoni, bertempat di Istana Negara sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand.

Malaysia merupakan pelabur ketiga terbesar di Kemboja dengan Pelaburan Langsung Asing bernilai US$3.53 billion (US$1 = RM4.18) antara 1994 hingga 2020, di belakang China dan Korea Selatan. Pelaburan Malaysia kebanyakannya di dalam sektor perbankan, telekomunikasi, penjanaan kuasa dan hiburan.

Di Kemboja kira-kira 5,000 rakyat Malaysia menetap dan 2,000 daripadanya berada di ibu kota Phnom Penh.

Kemboja merupakan tuan rumah bagi ASEAN 2022 dan merupakan negara keempat dilawati Perdana Menteri sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada 21 Ogos tahun lepas.

Terdahulu Ismail Sabri melawat Indonesia, Singapura dan Brunei.

Media Baharu