fb fb fb fb fb

Kes rasuah Rosmah, Mahkamah Tinggi selesai dengar keterangan 25 saksi


KUALA LUMPUR, 23 Februari
- Perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak berakhir hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan memaklumkan, mahkamah selesai mendengar keterangan 25 saksi sepanjang 42 hari perbicaraan itu berlangsung.

Dalam prosiding hari ini, Peguam Jagjit Singh yang mewakili Rosmah memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa pihak pembelaan menutup kes selepas saksi keduanya, bekas Pegawai Khas di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod selesai memberikan keterangan.

Hakim Mohamed Zaini menetapkan tarikh 5 April ini untuk mendengar hujahan kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan akhir.

Hakim turut menetapkan tarikh 9 Mac bagi pendakwaan memfailkan hujahan dan 30 Mac untuk pembelaan membalas hujahan.

"Saya akan memperuntukkan sepanjang hari (pada 5 April) untuk mendengar hujahan.

"Dengan itu, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas bantuan sepanjang perbicaraan. Ini mengakhiri perbicaraan selama 42 hari dengan mendengar keterangan 25 saksi termasuk beberapa kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Terdahulu, Mohamed Zaini menolak permohonan Rosmah untuk memanggil semula saksi penting dalam kes berkenaan, iaitu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd (Jepak Holdings), Saidi Abang Samsudin.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, atas dua tuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Media Baharu