fb fb fb fb fb

Perdana Menteri mulakan lawatan rasmi ke Brunei

(Foto arkib ketika lawatan Sultan Brunei ke Kuala Lumpur, November lalu)

PUTRAJAYA, 24 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memulakan lawatan rasmi dua hari ke Brunei Darussalam bermula hari ini bagi menyantuni jemputan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan dari Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Tan Sri Dr Abang Zohari Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak dan Datuk Seri Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah turut akan menyertai delegasi tersebut.

"Perdana Menteri dijadual mengadap Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam dan Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan disusuli dengan perjumpaan empat mata di Istana Nurul Iman.

"Pertemuan tersebut akan memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk menilai kemajuan kerjasama dua hala serta meneroka peluang kerjasama baharu di dalam bidang berkepentingan bersama. Ia diikuti dengan Majlis Persantapan Rasmi yang akan dihoskan oleh Paduka Seri Baginda Sultan," menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, Perdana Menteri juga dijadual untuk mengadakan sesi ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Bandar Seri Begawan.

Pada 2022, Brunei Darussalam merupakan rakan dagangan dunia ke-26 terbesar Malaysia dan ke-6 terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM 13.22 bilion.

Jumlah eksport ke Brunei Darussalam pula merekodkan RM7.4 billion, sementara jumlah import dari Brunei Darussalam adalah RM5.82 billion.


(Foto arkib ketika lawatan Sultan Brunei ke Kuala Lumpur, November lalu)

Media Baharu