fb fb fb fb fb

Perdana Menteri adakan Lawatan Rasmi esok ke Singapura

KUALA LUMPUR, 29 Januari - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Republik Singapura pada esok atas jemputan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Wisma Putra dalam kenyataan media hari ini memaklumkan beliau akan diiringi oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail.

Lawatan rasmi itu juga turut disertai delegasi oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Turut serta adalah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Zohari Tun Abang Haji Openg dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

"Perdana Menteri akan bertemu pemimpin-pemimpin Singapura termasuk Presiden Republik Singapura, Halimah Yacob, dan Perdana Menteri Republik Singapura Lee Hsien Loong.

"Kedua-dua Perdana Menteri juga akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mempromosikan kerjasama dalam data, keselamatan siber dan ekonomi digital serta dua (2) kerangka kerjasama dalam Ekonomi Digital dan Ekonomi Hijau," katanya.

(Perdana Menteri Singapura, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pernah bertemu Datuk Seri Anwar pada tahun 2018
dan mengucapkan tahniah kepada Anwar pada 24 November tahun lalu/FOTO Facebook Lee Hsien Loong) 



Dalam lawatan itu juga Anwar akan turut mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Singapura.

Tambahnya, lawatan ini mencerminkan hubungan akrab antara Malaysia dan Singapura sebagai jiran rapat serta negara anggota ASEAN, termasuk jalinan antara rakyat yang erat serta hubungan ekonomi yang kukuh.

"Lawatan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk meneroka peluang kerjasama bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala dan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama," tambah kenyataan itu lagi.

Pada 2022, Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan terbesar
dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah
RM367.53 bilion (USD83.53 bilion), dengan peningkatan sebanyak 29.4 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021.

Media Baharu