fb fb fb fb fb

Percepat proses pindah milik tanah untuk membolehkan naik taraf sekolah daif

KOTA BELUD, 15 Ogos- Kementerian Pendidikan KPM akan memastikan proses pindah milik tanah sekolah yang menjadi tapak sekolah-sekolah di Sabah diselesaikan segera.

Ini bagi membolehkan projek menaik taraf atau membina bangunan baharu sekolah daif dilaksana sebaik sahaja menerima peruntukan.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, isu pemutihan tanah merupakan salah satu kekangan KPM dalam usaha membangunkan prasarana sekolah di negeri ini.

"Menambah bangunan baharu atau membina bangunan untuk menggantikan bangunan daif maka kita dapat peruntukan kita boleh terus laksanakan kerana isu tanah dah selesai.

"Yang paling penting apa yang kita nak lihat bahawa setiap peruntukan yang ada itu digunakan dengan sebaik mungkin dan kemudahan yang perlu disiapkan itu disiapkan pada masa yang sepatutnya,"kata Dr Radzi selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan Ulu Kukut dan Sekolah Kebangsaan Sarang di sini.

(Percepat proses pindah milik tanah untuk membolehkan naik taraf sekolah daif)

Katanya, proses pemilikan tanah merupakan antara faktor utama yang menyebabkan banyak sekolah daif di seluruh negara khususnya di Sabah tergendala dan tidak dapat diteruskan.

Mengambil contoh projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Langkon yang sebelum ini tergendala kerana masalah pemilikan tanah, beliau berkata projek itu telah dilaksanakan.

Dua lagi sekolah kebangsaan yang akan dinaik taraf di kawasan Kota Belud dalam masa terdekat ialah SK Nanamun dan SK Pandasan.

KPM akan mengutamakan sekolah daif yang mempunyai masalah mendesak.

Dalam pada itu, KPM meluluskan peruntukan berjumlah RM1 juta bagi penyelenggaraan tambahan sekolah-sekolah bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Papar.

Dr Radzi ketika program Wacana Pendidikan anjuran Setiakawan di Papar berkata, peruntukan tersebut bagi membantu meningkatkan fasiliti dan prasarana sekolah-sekolah dalam daerah berkenaan.

Pengerusi Setiakawan Sabah, Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Setiausaha Sulit Kanan Ketua Menteri Sabah yang turut ditemui berkata, kerajaan negeri menyokong usaha KPM meningkatkan kemajuan sistem pendidikan.

 

Dr Radzi ketika program Wacana Pendidikan anjuran Setiakawan di Papar

Media Baharu