fb fb fb fb fb

Perbicaraan kes 1MDB: Dijangka Arul Kanda dan Haniff Lami akan beri keterangan, hari ini

KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di Mahkamah Tinggi di sini pada perbicaraan kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Najib, tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) pada pukul 8.48 pagi dari Penjara Kajang diiringi beberapa kenderaan polis dan Jabatan Penjara.

Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor turut hadir di mahkamah.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah dimuktamadkan Ketua Audit Negara, sebelum laporan itu 'sekali lagi dimuktamadkan' dan dibentang di hadapan PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Arul Kanda, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Pada prosiding hari ini, djangka dua saksi pendakwaan akan memberi keterangan iaitu Arul Kanda dan Penguasa Kanan Cawangan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Haniff Lami.

(Najib Tun Razak tiba di Mahkamah Tinggi pukul 8.48 pagi
dari Penjara Kajang/FOTO BERNAMA)

Pada 23 Ogos, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun jika gagal bayar denda ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Semalam, bekas perdana menteri itu hadir pada perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Media Baharu