LABUAN, 11 Februari – Perayaan Thaipusam di Labuan berlangsung dalam suasana tenang dan sederhana dengan kehadiran lebih 200 penganut Hindu yang berarak sejauh 1.4 kilometer dari Pantai Navy ke Kuil Thirumurugan.
Komuniti Hindu di pulau itu mewakili kira-kira satu peratus daripada jumlah penduduk Labuan yang melebihi 100,000 orang.
Walaupun komuniti itu kecil, sambutan tetap meriah, lebih-lebih lagi dengan penambahbaikan Kuil Thirumurugan yang telah siap dengan kos RM3.8 juta.
Penganut Hindu hadir bagi menunaikan upacara sembahyang dan menyertai perarakan membawa kavadi serta belanga susu (paal kudam) sebagai sembahan kepada Dewa Thirumurugan, yang melambangkan kebijaksanaan, kemenangan dan kekuatan dalam masyarakat Hindu.
Sambutan perayaan itu turut mencerminkan perpaduan kaum dalam kepelbagaian budaya di Labuan.