fb fb fb fb fb

Perarakan Armada Tentera Laut ASEAN warnai George Town 18-22 Ogos

Panglima Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama Mohd Norizal Fahrudin

GEORGE TOWN, 15 Ogos – Perarakan Armada Tentera Laut ASEAN (ANCP) sempena Mesyuarat Panglima Tentera Laut ASEAN (ANCM) ke-19 di Padang Kota Lama, George Town, bakal menawarkan pengalaman luar biasa kepada pengunjung mengenai tradisi maritim negara-negara anggota ASEAN.

Bermula 18 hingga 22 Ogos ini, George Town akan menjadi tumpuan utama warga Pulau Pinang dan pengunjung dari seluruh negara. Selain membincangkan isu keselamatan maritim, anggota tentera laut ASEAN akan mempamerkan kekuatan armada masing-masing.

Pelbagai kapal perang negara anggota akan berlabuh di Pelabuhan Swettenham Pier dan dibuka kepada orang ramai.

Panglima Wilayah Laut 3, Laksamana Pertama Mohd Norizal Fahrudin, berkata perarakan tersebut merupakan tradisi tentera laut setiap kali diadakan di bandar terpilih.

“Bersempena Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025, ANCP ini adalah antara acara tradisi tentera laut untuk berarak di bandar-bandar terpilih,” katanya kepada RTM selepas Program Bicara Prisma di konti Mutiara FM.

Selain lawatan kapal, pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan armada maritim ASEAN, demonstrasi ketenteraan, persembahan pancaragam sekolah-sekolah terpilih, serta pelbagai aktiviti lain.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE