fb fb fb fb fb

MAPPA 2025 tonjol pencapaian agensi kerajaan, PM dijangka umum dasar baharu

Ketua Unit Komunikasi Korporat, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri, Sapian Mamat

PUTRAJAYA, 15 Ogos – Pameran Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) 2025 menampilkan prestasi dan pencapaian terkini kementerian, jabatan serta agensi kerajaan susulan pengumuman Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) tahun lalu.

Ketua Unit Komunikasi Korporat, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri, Sapian Mamat yang juga wakil jawatankuasa MAPPA XX berkata, sebanyak 43 reruai dibuka meliputi segmen perumahan, pendidikan tinggi, pelancongan, selain dua reruai utama PACU dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Agensi kerajaan berusaha memperbanyakkan perkhidmatan, program dan inisiatif masing-masing. Sebagai contoh, reruai Kementerian Pendidikan Tinggi menawarkan pelbagai skim bantuan pengajian untuk penjawat awam, manakala segmen perumahan menampilkan Projek KOTA MADANI dan Bahagian Pengurusan Hartanah,” katanya ketika ditemui selepas lintas langsung Selamat Pagi Malaysia (SPM) sempena MAPPA XX di sini.

MAPPA turut menawarkan diskaun saman trafik 30 peratus kepada penjawat awam dan orang ramai di kaunter pengurangan saman sepanjang pameran.

Bermula pukul 9 pagi hingga 5.30 petang, pameran turut diserikan dengan Tazkirah Jumaat: Bicara Mufti, diikuti solat Jumaat di Dewan Putra.

Acara kemuncak menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat kepada 10,000 penjawat awam, termasuk secara dalam talian, sekitar pukul 3.30 petang.

Terdahulu, Ketua Pusat Pengajian Komunikasi dan Bahasa, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Dr Saharah Sapiyi memaklumkan, Perdana Menteri dijangka mengumumkan pengisian baharu perkhidmatan awam serta melancarkan Dasar Pembangunan Bakat Perkhidmatan Awam.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE