AYER KEROH, 18 September – Peranan aktif komuniti Rukun Tetangga (RT) di seluruh Melaka membantu kerajaan negeri mengurangkan kes denggi dengan ketara.
Melalui penganjuran program gotong-royong pembersihan secara berkala di kawasan kampung dan taman perumahan, usaha itu berjaya menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, jumlah kes denggi di Melaka menunjukkan penurunan lebih 52 peratus setakat September tahun ini.
“Pada tahun lepas, kes denggi direkodkan lebih 2,200 kes. Tahun ini sehingga bulan September, jumlahnya menurun kepada sekitar 800 kes sahaja. Kejayaan ini turut disumbangkan oleh peranan aktif KRT yang sentiasa menganjurkan program pembersihan di peringkat kampung,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga Peringkat Negeri di sini.
Tambahnya, RT turut diharap dapat terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan, keharmonian dan keselamatan masyarakat di peringkat akar umbi.