PUTRAJAYA, 8 Oktober — Usaha memperkukuh peranan Pusat Geospatial Negara (PGN) akan terus dipertingkat menerusi Inisiatif Infrastruktur Data Spatial Kebangsaan (NSDI).
Langkah itu bagi memastikan perkongsian dan penggunaan data geospatial dijadikan budaya dalam pentadbiran Kerajaan.
Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjelaskan PGN memainkan peranan penting sebagai pusat rujukan data menyeluruh kerajaan dalam perancangan serta pelaksanaan projek pembangunan negara secara lebih teratur dan berasaskan bukti.
Beliau berkata data yang dikumpul melalui PGN mampu memberikan gambaran jelas terhadap pelbagai aspek.
Ini termasuk kawasan berisiko bencana, kesesakan trafik, keselamatan sempadan serta potensi pembangunan ekonomi.
“Semua data dalam kerajaan dijadikan rujukan untuk pelbagai tujuan pembangunan. Contohnya, melalui sistem geospatial, kita boleh tahu kawasan yang sering terjejas banjir."
"Jadi, mana-mana pemaju yang ingin membangunkan kawasan tertentu perlu menggunakan data ini supaya pembangunan tidak dibuat di kawasan berisiko," katanya.
Datuk Seri Johari, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata maklumat geospatial membolehkan kerajaan serta pihak swasta membuat keputusan lebih tepat sebelum melaksanakan sesuatu projek baharu.
Jelasnya, data yang dikumpul bukan sahaja digunakan bagi tujuan keselamatan dan perancangan bandar, malah menyokong keputusan ekonomi serta pengurusan sumber negara secara mampan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan ke-10 di Putrajaya, hari ini.