fb fb fb fb fb

Peranan polis wanita akan terus diperkasa - PDRM

KUALA LUMPUR, 22 Mac- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperkasa peranan pegawai wanita dalam mendepani isu-isu jenayah negara.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Julina Salehuddin, terdapat banyak inisiatif yang dilakukan jabatan untuk memberi pengiktirafan kepada kebolehan pegawai polis wanita.

"Kita sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama-sama kementerian dan juga jabatan-jabatan tertentu sebagai medium perkongsian maklumat dan juga untuk membangunkan kapasiti pegawai wanita itu sendiri.

"Seterusnya pengiktirafan dalam kalangan polis wanita dengan melantik mereka untuk memegang jawatan-jawatan strategik dalam PDRM seperti ketua polis daerah, ketua jabatan, ketua bahagian dan sebagainya.

"Dan berikutnya dengan pengiktirafan peranan polis wanita dengan pewujudan AMANITA di setiap lapisan masyarakat," katanya selepas menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia di sini.

AMANITA adalah satu usaha mempergiatkan polis wanita untuk mendapatkan maklumat berkaitan jenayah yang tidak dilaporkan terutamanya jenayah melibatkan wanita seperti keganasan rumah tangga, gangguan seksual dan lain-lain.

Tambahnya, setakat tahun ini terdapat 16,840 anggota wanita PDRM dengan data terbaharu menunjukkan trend peningkatan sebanyak 13.8 peratus pegawai wanita pada tahun 2023 berbanding tahun 2022.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM