JOHOR, 22 Mac- Kerajaan Johor mengarahkan pengetua dan guru besar Institusi Pendidikan Agama Islam dalam negeri untuk mempertimbang kebenaran khas bagi murid memakai pakaian sukan yang sopan, ketika cuaca panas.
Jelas Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, ia sebagai langkah menjaga keselamatan dan kesihatan murid ketika menghadapi cuaca panas khususnya pada Ramadan.
"Antara arahan lain bagi menangani implikasi cuaca panas terhadap murid, menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah sekiranya cuaca terlalu panas dan memantau aktiviti yang mendedahkan murid kepada cuaca panas.
"Institusi terlibat juga diseru bekerjasama dengan klinik dan hospital sekiranya terdapat komplikasi akibat cuaca panas dalam kalangan murid," katanya menerusi kenyataan.
"Selain itu, bekalan air minuman perlu diberikan kepada murid asrama, sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain mendapatkan air minuman," katanya menerusi kenyataan.
Mohd Fared turut menyeru Institusi Pendidikan Agama Islam untuk peka terhadap fenomena cuaca panas semasa, selain patuh kepada saranan pihak berkuasa.