fb fb fb fb fb

Operasi pelabuhan Bintulu diserah sepenuhnya menjelang 2025

Anthony Loke Siew Fook

PUTRAJAYA, 22 Mac- Keseluruhan operasi Pelabuhan Bintulu bakal dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sarawak dan diserahkan menjelang 2025 kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Proses penukaran status tersebut dijangka selesai tahun ini.

"Jadi kita amat yakin bahawa segala proses ini akan dapat diselesaikan dan dimuktamadkan dalam tahun ini juga dan menjelang tahun 2025 saya yakin keseluruhan operasi ini akan diserahkan dan juga akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa Sarawak sendiri untuk Pelabuhan Bintulu."

"Kita juga yakin bahawa Pelabuhan Bintulu ini akan terus menjadi pelabuhan utama bukan saja untuk Sarawak tetapi juga untuk Malaysia sebagai pelabuhan gas asli cecair (LNG) yang terulung dan dapat diperbesarkan lagi untuk menyokong indistri minyak dan gas di Bintulu dan juga perindustrian di Sarawak," katanya dalam sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Berkaitan Penukaran Status Pelabuhan Bintulu Daripada Pelabuhan Persekutuan Kepada Pelabuhan Negeri Sarawak di sini.

Tambah beliau, ini merupakan detik bersejarah dan bukti komitmen Kerajaan Persekutuan dan nerajaan negeri Sarawak dalam menyiapkan proses penukaran status tersebut.

MoU tersebut dimeterai oleh Anthony Loke dan Timbalan Premier merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Ia turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri secara jelas menyokong hasrat kerajaan negeri Sarawak untuk menjadikan Pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan negeri bagi melengkapkan ekosistem ekonomi Sarawak.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI