fb fb fb fb fb

Peranan pesara KKD amat signifikan bagi negara - Fahmi

(Fahmi Fadzil)

PUTRAJAYA, 11 Oktober- Peranan penjawat awam bersara yang pernah berkhidmat dalam Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) amat penting dan signifikan dalam pembangunan negara.

Menterinya, Fahmi Fadzil berharap agar semua pengalaman berharga mereka dapat dikongsi kepada penjawat awam yang sedang berkhidmat untuk dijadikan panduan dan teladan.

Beliau turut mengalu-alukan sumbangan pesara sebagai rakan strategik KKD dalam meningkatkan persepsi positif rakyat terhadap kementerian dan kerajaan termasuk di peringkat akar umbi menerusi penyebaran maklumat tepat kepada masyarakat.

"Saya harap agar semua pengalaman berharga ini dapat dikongsikan untuk dijadikan panduan dan teladan kepada penjawat awam yang sedang berkhidmat.

"Melalui perkongsian pengalaman ini, adalah diharapkan agar mutu penyampaian perkhidmatan penjawat awam khususnya warga kementerian dan agensi di bawah KKD dapat sentiasa ditambah baik," katanya ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang 2023 KKD di sini.

Seramai 128 orang pesara KKD termasuk jabatan dan agensi dibawahnya diraikan dalam majlis tersebut yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha KKD, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, ketua-ketua jabatan dan agensi KKD.

Sementara itu, pesara Jabatan Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyambut baik saranan Fahmi untuk terus menyumbang ilmu dan pengalaman kepada penjawat awam lain yang masih berkhidmat.

"Saya akan bersedia bila-bila masa untuk membantu jabatan walaupun telah bersara. Bersara itu hanya perkhidmatan sahaja, tetapi curahkan rasa dan cinta saya pada jabatan penyiaran khususnya RTM dan KKD sangat mendalam," Mat Saad Mohamad, pesara RTM.

"Kalau rakan-rakan menghubungi saya untuk kongsi pengalaman, saya akan turunkan ilmu yang ada," Ramli Omar, pesara RTM.

(Fahmi Fadzil (tengah) bersara sebilangan pesara KKD pada Majlis Jasamu
Dikenang 2023 di Putrajaya)

Media Baharu