fb fb fb fb fb

Peranan media arus perdana perlu diperkasa-Nie Ching

(FOTO RTM)

KULAI, 23 September -Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menyeru peranan media arus perdana terus diperkasa bagi menangkis berita palsu dan jenayah siber di media sosial.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, semua media arus perdana termasuk stesen televisyen, radio, dan surat khabar juga perlu mendidik masyarakat, agar tidak menjadi mangsa jenayah siber.

"Jadi kita perlu bergantung kepada media arus perdana tidak kira Bernama, RTM, Astro, Sinchew, Sinar Harian dan sebagainya supaya kita dapat mendidik rakyat apabila mereka ingin dapatkan informasi, mereka dapat daripada sumber yang sah dan bukan khabar angin atau cerita berbentuk 'heresay' sahaja", katanya selepas ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Payung Pasar Pagi di Jalan Merbau, Bandar Putra, di sini.

Sementara itu, Nie Ching menyatakan bahawa media perlu berfungsi secara dua hala dengan melaporkan informasi berkenaan hala tuju dan polisi baharu kerajaan serta menyampaikan hasrat dan kritikan daripada rakyat.

Terdahulu, Menteri KKD Fahmi Fadzil memaklumkan Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan (JaPen) perlu memperkukuhkan kerjasama dalam merangka strategi bagi menangkis berita palsu, pada Khamis lalu.

Sementara itu, penubuhan Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada peringkat negeri dilihat penting dalam mengukuh hubungan antara parti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional sebagai Kerajaan Perpaduan di Johor.

Nie Ching menjelaskan setakat ini tiada perbincangan berkaitan penubuhan Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

 


Timbalan Menteri, Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching/FOTO RTM)

Media Baharu