fb fb fb fb fb

Peranan keluarga, sekolah penting bentuk sahsiah pelajar

Pegawai Psikologi Kanan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Tampin Negeri Sembilan, Nor Azlan Sarmudin/RTM

KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Masyarakat perlu mengambil tahu peranan penting keluarga dan sekolah dalam membentuk sahsiah serta kestabilan emosi anak-anak, susulan insiden pelajar bertindak luar kawalan di sekolah baru-baru ini.

Menurut Pegawai Psikologi Kanan Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Tampin Negeri Sembilan, Nor Azlan Sarmudin, tingkah laku agresif dalam kalangan remaja berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk pengaruh media sosial, tekanan emosi serta penggunaan bahan terlarang.

“Antara faktor utama ialah pendedahan kepada kandungan berunsur ganas seperti filem atau permainan yang melibatkan pembunuhan dan tindakan agresif. Selain itu, tekanan dalaman seperti stres dan kemurungan juga boleh menjadi punca seseorang remaja bertindak di luar kawalan,” katanya.

Nor Azlan turut menekankan kepentingan ibu bapa menjadi rakan kepada anak-anak, bukan sekadar memberi arahan atau hukuman.

Beliau turut memaklumkan bahawa JKM melalui program advokasi kanak-kanak aktif memberikan penerangan di sekolah bagi meningkatkan kesedaran pelajar terhadap isu buli, salah laku sosial dan jenayah.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Ketua Unit Kepimpinan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Puan Aida Nur Datuk Mohd Kodri berkata pendekatan sekolah perlu lebih terbuka dan berempati terhadap emosi pelajar bagi membina persekitaran pembelajaran yang sihat.

Beliau turut menegaskan bahawa komunikasi dua hala antara sekolah dengan ibu bapa harus diperkukuh agar masalah pelajar dapat dikenal pasti lebih awal.

“Kadang-kadang pelajar menunjukkan sikap berbeza di rumah dan di sekolah. Jadi, komunikasi yang kerap antara guru dan ibu bapa amat penting supaya kita boleh saling ‘cross-check’ dan memahami keadaan sebenar anak-anak,” jelas beliau.

Kesejahteraan pelajar, keluarga dan sekolah kekal sebagai tonggak utama dalam membina peribadi generasi muda, bukan sahaja melalui pendidikan akademik tetapi juga dengan komunikasi dan kefahaman emosi yang berterusan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ