fb fb fb fb fb

Kerajaan komited tingkat daya saing PMKS

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid (tengah) melawat reruai pameran SME Venture@ASEAN 2025 di MITEC, hari ini. - Foto BERNAMA.

KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Kerajaan komited memperkukuh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar mampu melonjak ke peringkat serantau dan global.

Lankah itu selaras dengan matlamat Pelan Usahawan Nasional 2030 (NEP 2030) dan Kerangka Ekonomi MADANI.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, PMKS kekal sebagai tulang belakang ekonomi negara, mewakili lebih 96 perarus daripada jumlah perniagaan.

Menurut beliau, sektor itu menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 14.3 peratus eksport negara serta menyediakan hampir separuh peluang pekerjaan.

“Lebih membanggakan, antara 2015 hingga 2024, jumlah perusahaan ini meningkat daripada 907,000 kepada 1.09 juta, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak dua peratus. 

“Di sebalik angka ini terserlah ketabahan, kreativiti dan semangat juang rakyat Malaysia yang tidak pernah berhenti percaya bahawa kemajuan tetap boleh dicapai walau dalam keadaan tidak menentu,” katanya ketika berucap merasmikan SME Venture @ ASEAN 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, kerajaan menyasarkan peningkatan jumlah syarikat bersaiz sederhana daripada 1.6 peratus pada tahun 2024 kepada 5 peratus menjelang 2030, melalui pelbagai inisiatif peningkatan kapasiti dan pemerkasaan PMKS tempatan.

“Transformasi ini bukan sekadar angka statistik, tetapi mencerminkan evolusi impian kecil menjadi industri mapan, dan perusahaan tempatan menjadi juara serantau,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus menyalurkan bantuan, pembiayaan dan sokongan keusahawanan bagi memastikan PMKS bukan sekadar berkembang, malah muncul sebagai pemain utama di peringkat serantau dan global.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN