fb fb fb fb fb

Peranan ibu bapa, sekolah asas utama pembentukan sahsiah pelajar

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Peranan Ibu bapa dan sekolah merupakan asas utama dalam pembentukan sahsiah serta kestabilan emosi pelajar sekali gus dapat mengekang peningkatan isu sosial dalam kalangan golongan itu.

Salah seorang yang ditemui RTM, Atiqah Roslan berpandangan ibu bapa atau penjaga merupakan individu utama dalam membentuk nilai moral dan tingkah laku anak sebelum disambung oleh guru di sekolah.

"Anak-anak ni patutnya dibentuk dari rumah. Ibu bapa kena ambil tahu hal anak, tanya hari-hari macam mana di sekolah, tengok telefon, tengok dengan siapa dia berkawan. Kadang anak tertekan tapi kita tak perasan," katanya kepada RTM di sini.

Atiqah turut mencadangkan agar amalan pemeriksaan mengejut di sekolah seperti dulu dihidupkan semula bagi mengelak pelajar membawa senjata atau barang berbahaya.

Wan Nasrul Nizam pula menyifatkan pendidikan moral dan disiplin kini semakin lemah apabila sesetengah ibu bapa terlalu memanjakan anak dan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada guru.

"Kalau dulu mak ayah pegang rotan, budak terus takut. Sekarang tengok rotan pun tak hairan. Ibu bapa tak boleh lepas tangan dan serah semua pada cikgu. Cikgu mendidik, tapi asas moral datang dari rumah," katanya.

Sementara itu, ibu kepada dua cahaya mata, Shyamala berpendapat tanggungjawab membentuk sahsiah pelajar bukan hanya di bahu ibu bapa semata-mata, sebaliknya memerlukan peranan bersama seluruh komuniti termasuk pihak sekolah.

"Mungkin guru-guru kini dibebani dengan terlalu banyak tugasan lain sehingga kurang memberi tumpuan terhadap pelajaran dan disiplin pelajar. Saya perhatikan ramai guru mengeluh kerana perlu mengurus pelbagai perkara, menyebabkan fokus mereka tidak hanya tertumpu kepada murid, tetapi juga kepada tanggungjawab lain.

"Akibatnya, perhatian terhadap keadaan murid sama ada emosi mereka stabil atau tidak semakin terabai. Pada masa yang sama, ibu bapa juga terlalu sibuk mencari rezeki, hingga tidak sempat memantau anak-anak mereka," katanya.

Tambah Shyamala, ibu bapa juga perlu lebih terbuka mendengar pandangan anak dan menjalin hubungan rapat dengan guru untuk memahami keadaan sebenar di sekolah.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM